BEKAS penyerang kebangsaan, Mohd Fadzli Shaari berazam membantu Selangor meraih kejayaan dan mampu bangkit mencapai keputusan lebih baik, terutama merampas kembali Piala Malaysia.
Mohd Fadzli berkata, segala-galanya berjalan lancar dan perancangan dilakukan jurulatih, K Devan turut meletakkan pasukan itu berada di tahap prestasi lebih baik untuk mencipta kejayaan lebih bermakna bagi musim 2011 Menurutnya, setakat ini, dia sudah memulakan sesi latihan bersama rakan seperjuangan dan diharapkan impian melakar kejayaan bersama Selangor dapat ditunaikan.
"Biarpun meninggalkan skuad ini pada 2008, saya percaya pembentukan pasukan tetap mantap dengan diperkuatkan beberapa pemain kebangsaan seperti Safee Sali dan Mohd Amri Yahya.
“Sebagai penyerang, saya bertekad memberi yang terbaik dan cuba menjaringkan lebih banyak gol,” katanya semalam.
Musim ini, pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu menjaringkan 17 gol, masing-masing 11 dalam saingan Liga Super dan enam gol di Piala Malaysia yang membuktikan bahawa sentuhan masih lagi berbisa.
Sepanjang dua musim bersama KL Plus, penyerang berkenaan berjaya membantu kelab itu layak beraksi dalam saingan suku akhir Piala Malaysia musim 2009.
Namun, musim ini, nasib tidak memihak kepada kelab berkenaan apabila gagal menyerlah termasuk jurulatihnya, Mat Zan Mat Aris yang melepaskan jawatan pada pertengahan musim.
Sehubungan itu, dia berharap sokongan rakan sepasukan dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) diharap dapat meningkatkan semangat dan motivasi untuk mencipta kejayaan bersama Selangor selepas meninggalkan Selangor pada 2007 dan 2008.