Zakaria terkejut dilucut jadi pengurus
Oleh Nor Sedek Ismail (Utusan Malaysia)    Khamis, 03 Disember 2009 08:15   

Bekas pengurus pasukan Liga Super Selangor, Zakaria Ab. Rahim terkejut dan tertanya-tanya berhubung tindakan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) melucutkan jawatan beliau kelmarin tanpa sebarang surat rasmi.

Menurutnya, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu setelah dihubungi oleh Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad selepas mesyuarat persatuan itu bahawa jawatan pengurus diserahkan kepada jurulatih, K. Devan, petang kelmarin.

Malah sehingga semalam, kata Zakaria, beliau masih gagal bercakap dengan Mokhtar untuk mengetahui kedudukan sebenar dalam persatuan bola sepak tersebut.

"Mengikut akhbar saya akan diberi tugas dalam urusan pemasaran dan penjenamaan tetapi sehingga kini tiada lagi surat hitam putih dari FAS tentang jawatan pengurus itu.

"Saya juga gagal menghubungi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim merangkap Presiden FAS berhubung isu ini," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Zakaria memberitahu, beliau telah dilantik sebagai pengurus Liga Super Selangor secara kontrak mulai 1 Jun 2008 hingga 30 Mei 2010.

Ekoran perkembangan semasa itu, katanya, beliau perlu melihat dahulu surat dari FAS dan mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan sebelum mengambil keputusan sama ada mahu menerima tawaran bagi mengurus bahagian pemasaran.

"Namun saya akur dengan sebarang keputusan FAS. Ini adalah lumrah dalam kerjaya bola sepak profesional dan saya sudah bersedia sejak bersetuju menerima jawatan pengurus lebih setahun lalu," ujarnya.

Apa juga keputusannya nanti kata Zakaria, beliau terbukti telah berjaya meningkatkan mutu bola sepak Selangor apabila pasukan The Red Giants itu muncul naib juara Piala FA dan Piala Malaysia 2008.

Malah pada tahun ini walaupun hanya menyasarkan dua piala, tetapi Selangor menambah koleksi kemenangan dengan mengumpul tiga piala iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Katanya, jika keputusan FAS itu sahih maka perancangannya untuk meletakkan pasukan Selangor antara pasukan digeruni dalam Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) berkecai.

Pemain-pemain Selangor ujarnya, ada menghubungi beliau semalam bertanyakan isu tersebut dan memintanya bersabar.