Banner
Tugas baru Zakaria
Oleh Lokman Zainal Abidin (Harian Metro)    Rabu, 02 Disember 2009 08:34   

HANYA semusim - setakat itulah saja khidmat Zakaria Ab Rahim diperlukan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan mulai musim 2010, bekas pengurus itu perlu memerah otak untuk memenuhi tanggungjawab lain yang diserahkan badan induk berkenaan.

Tanggungjawab Zakaria untuk musim depan ialah mempromosikan FAS serta mencari sebanyak mungkin penaja baru untuk badan induk berkenaan dan sudah pasti ia bukanlah satu tugas yang mudah untuk dilaksanakan.

Zakaria adalah pengurus bola sepak sepenuh masa yang pertama di Malaysia dan beliau dilantik FAS ketika musim 2009 belum bermula. Beliau mempunyai kontrak selama dua tahun bersama pasukan yang menjuarai Piala Malaysia sebanyak 32 kali itu.

FAS yang mengadakan mesyuarat majlis di Wisma FAS, Kelana Jaya, malam tadi mengambil keputusan untuk melepaskan tanggungjawab selaku pengurus dan ketua jurulatih kepada seorang individu iaitu K Devan.

Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad ketika sidang akhbar selepas mesyuarat itu berkata, mereka mengambil keputusan melantik Devan bagi menggantikan tempat Zakaria.

"Zakaria akan diberi tugas lain iaitu mempromosi FAS serta mencari penaja bagi pihak FAS," katanya yang bagaimanapun enggan menggunakan perkataan 'pecat' bagi menggambarkan situasi yang dihadapi Zakaria.

Kontrak Zakaria bersama FAS bakal berakhir pada Mei 2010 dan Mokhtar dalam sidang akhbar itu turut enggan mengulas mengenai masa depan Zakaria sebaliknya berkata, FAS yakin individu terbabit akan lebih menyerlah dalam tugasan baru yang diberikan.

"Tahun depan, kami mensasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya 30,000 penyokong bagi setiap perlawanan dan untuk itu, kami memerlukan seseorang yang mampu melahirkan idea bagaimana untuk merealisasikan hasrat itu.

"Kehadiran penyokong yang ramai adalah penting kerana ia akan menjana pendapatan FAS dan kami yakin Zakaria mampu berbuat demikian. Beliau tidak ada apa-apa masalah dengan pemain atau pengurusan FAS yang lain," katanya.

Cubaan untuk mendapatkan ulasan Zakaria mengenai keputusan mesyuarat majlis FAS itu bagaimanapun gagal dan mesej yang dihantar menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) juga tidak dijawab.

Dalam sidang akhbar sama, Mokhtar turut mengumumkan nama enam pemain baru yang dijangka mampu menambah sengat skuad Gergasi Merah pada musim akan datang.

Enam pemain terbabit adalah Farderin Kadir, Safiq Rahim dan Mohd Bunyamin Umar (pemain tengah), Liew Kit Kong dan Azrine Efendy Sa'duddin (penyerang) serta Mohd Iqbal Mohd Suhaimi (penjaga gol).

"Kami yakin kehadiran enam pemain baru ini akan memantapkan lagi Selangor pada musim akan datang dan kami berharap pencapaian skuad ini lebih baik lagi berbanding musim 2009," katanya.