JUARA Piala FA musim ini, Selangor yang mendapat ‘bye’ pusingan pertama dijangka tidak berdepan masalah untuk sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir kejohanan bola sepak Piala FA 2010 selepas undian kejohanan itu dilakukan di Wisma FAM, petang semalam.
Apapun, jika melepasi suku akhir nanti cabaran sebenar skuad Merah Kuning itu kemungkinan berdepan juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan, Johor, KL Plus atau Harimau Muda dalam saingan kelompok empat terakhir. Andai halangan itu dilepasi anak didik K Devan mungkin mengulangi pertemuan perlawanan akhir 2009 menentang Kelantan pimpinan B Sathianathan kelak.
Sejumlah 30 pasukan akan bersaing dalam edisi kali ini yang diadakan secara timbal balik dengan pusingan pertama bermula pada 2 Februari dan final pada 10 April tahun depan.