Legenda bola sepak negara, Santokh Singh yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur pertengahan November lalu telah diberi habuan penghargaan sebanyak RM10,000 oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) semalam.
Santokh, 57, yang terlantar di hospital selama tiga minggu akibat jangkitan virus kini sudah boleh berjalan dan bercakap seperti biasa, cuma perlu menghabiskan masa dengan berehat di rumah.
"Terima kasih kepada FAS di atas sumbangan ini dan juga semua pihak yang membantu sepanjang saya berada di hospital," kata Santokh selepas menerima kunjungan wakil-wakil FAS di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur semalam.
Sumbangan RM10,000 itu yang diputuskan oleh Majlis FAS baru-baru ini telah disampaikan oleh Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad.
Turut hadir Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd Amin, Bendahari FAS, S. Sivasundram, pengurus dan jurulatih Selangor, K. Devan serta beberapa Exco FAS yang lain.
Sementara itu, isteri Santokh, Taljit Kaur, 50, berkata, doktor telah menasihatkan suaminya itu supaya berehat di rumah tanpa boleh melakukan sebarang aktiviti fizikal buat masa ini.
"Terima kasih juga kepada doktor dan staf Hospital Kuala Lumpur yang merawat suami saya, FAS yang banyak beri sokongan serta Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) yang membiayai bil hospital," ujar Taljit.
Dalam pada itu, Santokh turut mengulas tentang kejayaan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA XXV di Laos baru-baru ini.
"Jujur saya katakan, inilah skuad terbaik setakat ini. Kekalkan mereka untuk tempoh yang lama supaya setiap pemain saling mengenali. Cuma bahagian pertahanan dan serangan perlu diperbaiki," kata Santokh.