SELEPAS semusim berkelana ke KL Plus FC, pemain tengah kebangsaan, Safiq Rahim bakal menyarung jersi Selangor pada saingan Liga Bola Sepak Malaysia (Liga M) musim depan, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.
Safiq, 22, yang berasal dari Kuala Selangor memang merupakan pemain skuad utama Selangor pada musim 2007 dan 2008 tetapi memilih untuk berhijrah ke KL Plus FC pada saingan musim ini.
Ketika bersama KL Plus FC, Safiq jarang diturunkan di posisi tengah yang menjadi kegemarannya sebaliknya sering diletakkan di posisi sayap.
"Harapan saya apabila menyertai semula Selangor ialah untuk mendapat peluang beraksi lebih kerap. Tapi saya sedar, saingan pasti sengit. Jadi, saya akan berusaha mempertingkatkan prestasi," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Safiq ketika ini menjadi tonggak utama di bahagian tengah skuad B-23 kebangsaan bimbingan K. Rajagobal untuk membawa cabaran negara di Sukan SEA Laos bermula 2 Disember depan.
Malah pemain bertubuh kecil itu turut beraksi cemerlang ketika skuad kebangsaan tewas 1-3 kepada Uzbekistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada aksi kelayakan Piala Asia 2011 pada Rabu lalu.
"Untuk skuad B-23 negara ini, saya harap kami dapat mengekalkan rentak cemerlang sehingga ke saingan sebenar di Laos nanti. Harap tiada lagi masalah kecederaan menimpa skuad ini.
"Setelah diberi rehat dua hari selepas bertemu Uzbekistan, kami akan kembali berlatih esok (hari ini) untuk persiapan terakhir sebelum ke Laos. Selepas tamat Sukan SEA nanti, barulah saya akan mula berlatih bersama Selangor," kata Safiq.
Selain Safiq, pemain-pemain baru lain yang bakal menyarung jersi Selangor musim depan antaranya Mohd. Iqbal Suhaimi (Proton FC), Bunyamin Umar (UPB-MyTeam), Liew Kit Kong dan Farderin Kadir (KM Naza).