SELEPAS cemerlang memenangi kesemua enam perlawanan pra musim setakat ini, skuad Liga Super Selangor bakal menerima ujian sebenar apabila turun menentang skuad kebangsaan Zimbabwe di Stadium Shah Alam, pukul 8.30 malam ini.
Pengurus yang juga jurulatih Selangor, K. Devan berkata, beliau akan menurunkan kesebelasan terbaik untuk menguji sejauh mana tahap kemampuan anak-anak buahnya setelah menjalani latihan selama lima minggu.
"Saya akan turunkan kesebelasan terbaik untuk perlawanan ini. Cuma saya masih tidak dapat menggunakan lima pemain yang masih bersama skuad kebangsaan.
"Tapi ini bukanlah masalah besar kerana apabila kembali, tahap kecergasan mereka tak perlu dirisaukan.
"Cuma persefahaman dan taktikal perlu difahami dengan cepat," katanya ketika ditemui sewaktu melawat legenda bola sepak negara, Santokh Singh di Setapak, Kuala Lumpur semalam.
Selepas mengharungi enam aksi persahabatan sejak 12 Disember lalu, Selangor berjaya menewaskan Penang KGS FC (2-0), Kedah (4-2), Pos Malaysia (2-0), Sarawak (2-0), T-Team (4-3) dan terbaru, Pahang (3-1) malam kelmarin.
Ditanya tentang sasaran Selangor bagi musim 2010, Devan berkata, pihak pengurusan FAS mahu skuad Red Giants itu menjuarai Piala Malaysia selain cuba mempertahankan tiga kejuaraan yang dimenangi musim lalu iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih.
"Buat masa ini, saya sudah ada kesebelasan terbaik. Kita akan cuba pada perlawanan Piala Sumbangsih menentang Negeri Sembilan pada 9 Januari depan.
"Tiada jaminan kesebelasan utama buat pemain-pemain kebangsaan. Saya hanya akan nilai pemain mengikut prestasi semasa mereka," jelas Devan.
Pengendali berusia 48 tahun itu turut menyatakan rasa puas hatinya dengan kesungguhan enam pemain baru Selangor iaitu Liew Kit Kong, Farderin Kadir, Iqbal Suhaimi, Azrine Efendy Saduddin, Bunyamin Umar dan Safiq Rahim.
Selangor akan menamatkan aksi persahabatan mereka dengan bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu ini di Padang SUK, Shah Alam (5 petang).