HASRAT menjulang Piala Malaysia menjadi keutamaan jurulatih Selangor, K Devan bagi musim 2010 selepas mengecapi kejayaan besar membawa pulang tiga trofi - Piala Sumbangsih, Piala FA, dan Piala Super, musim lalu.
Jurulatih skuad Red Giants itu beranggapan, walau pun sudah meletakkan ketetapan untuk merealisasikan misi berkenaan, namun dia tetap mengharapkan kesinambungan kecemerlangan anak didiknya, musim lalu mampu diulangi.
"Ketika ini sasaran saya ialah ingin menjulang Piala Malaysia, namun dalam masa yang sama saya mahu setiap pemain terus konsisten dengan prestasi dan pencapaian terdahulu," katanya.
Dia menambah dengan kehadiran barisan emas Sukan Sea seperti Safiq Rahim, Nasriq Baharom, Amirulhadi Zainal Noordin dan Asrarudin Putra serta pemain berpengalaman Amri Yahyah serta Bunyamin Omar, Selangor bakal menjadi antara pasukan pilihan untuk menyerlah musim ini.
"Selangor memiliki barisan yang tidak kurang hebat namun itu tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk mereka berasa selamat, mereka perlu buktikan dalam setiap perlawanan."
Menjelang pertemuan pertama dengan Negeri Sembilan pada 9 Januari ini, Devan tidak meletakkan harapan sepenuhnya kepada empat pemain utama yang juga beraksi untuk negara dalam siri kelayakan Piala Asia 2011 di Emiriyah Arab Bersatu pada 6 Januari ini.
Sebaliknya membuka peluang kepada pemain lain yang dilihat turut mempunyai potensi untuk menyerlah dan pemain tengah, Bunyamin antara nama yang akan turunkan dalam Piala Sumbangsih nanti.
"Saya faham dengan situasi mereka yang tidak cukup rehat, dan sebarang kemungkinan yang membabitkan kecederaan mungkin boleh berlaku. Saya tidak mahu mengambil risiko dan perlu memikirkan cara terbaik."
"Semestinya saya ingin mengutip kemenangan dalam perlawanan pertama namun sekiranya hanya catatan seri mampu dilakukan oleh mereka, itu sudah cukup berbaloi kerana sekiranya membawa perlawanan ke penentuan penalti, Selangor memiliki kelebihan di situ."