| Piala AFC: Laluan Selangor sukar | |
|
|
SKUAD Liga Super Selangor bakal berdepan laluan sukar pada saingan Piala AFC 2010 apabila diundi bersama-sama kelab Vietnam, Binh Duong dan kelab Maldives, Victory dalam Kumpulan F pada majlis undian di Rumah AFC, Bukit Jalil petang semalam. Satu lagi pasukan yang akan berada dalam kumpulan tersebut ialah salah satu pasukan yang gagal dalam playoff Liga Juara-Juara Asia, sama ada Singapore Armed Forces (Singapura), Shb Da Nang (Vietnam), Sriwijaya (Indonesia) atau Muangthong United (Thailand). Jurulatih Selangor, K.Devan berkata, saingan untuk merebut dua kedudukan teratas kumpulan untuk mara ke saingan kalah mati (pusingan kedua) pasti sengit memandangkan semua pasukan itu memiliki pemain import kecuali Selangor. "Binh Duong sebuah pasukan yang kuat kerana mereka telah membelasah Kedah 8-2 pada aksi pusingan kedua Piala AFC 2009. Empat pasukan yang akan mengisi satu lagi slot dalam kumpulan juga hebat-hebat belaka. "Kalau pasukan Victory, saya rasa kita boleh atasi. Tetapi harus diingat, ketiga-tiga lawan kita dalam Kumpulan F ini semuanya ada pemain import," kata Devan selepas majlis undian tersebut. Namun, Devan yang bakal mengharungi saingan Piala AFC buat kali kedua selepas membimbing Negeri Sembilan pada 2004 tetap berhajat mahu membawa Selangor melangkah jauh dalam saingan Piala AFC 2010 itu. "Walaupun kita tak boleh guna pemain import tetapi kita akan tetap buat yang terbaik. Tempoh masa yang ada ini, kita akan kaji kelebihan dan kelemahan pasukan-pasukan lawan menerusi rakaman video aksi-aksi mereka," jelas Devan. Kali terakhir Selangor menyertai saingan Piala AFC ialah pada musim 2006 tetapi persembahan cemerlang pada aksi peringkat kumpulan gagal diteruskan apabila mereka kandas di suku akhir setelah tewas 0-1 kepada kelab Lebanon, Al-Nejmeh. |