| Perantaraan pemain, FAS | |
|
|
PENGURUS pasukan baru dilantik, K Devan berjanji akan bertindak sebagai perantaraan pemain dengan pengurusan tertinggi persatuan Bola Sepak Selangor (FAS). Andai berdepan apa saja masalah atau mahu mendapatkan sebarang kepastian mengenai kedudukan masing-masing, Devan sedia mendengar dan beliau berjanji segala permasalahan itu akan dibawa kepada pihak atasan. "Saya lebih rapat dengan pemain kerana sebelum ini saya adalah ketua jurulatih mereka. Saya yakin ikatan yang sudah terjalin itu akan memudahkan mereka meluahkan apa saja masalah yang sedang ditanggung. "Kalau boleh, saya tidak mahu ada antara pemain saya yang menjeruk rasa hingga menjejaskan prestasi di padang dan itulah tugasan pertama yang akan saya jalankan selepas dilantik pengurus," kata Devan. Beliau dipilih mengisi jawatan pengurus merangkap ketua jurulatih Selangor selepas mesyuarat majlis FAS memberikan tugasan baru kepada pengurus terdahulu, Zakaria Ab Rahim. Zakaria yang sebelum ini bergelar pengurus sepenuh masa yang pertama dalam kancah bola sepak Malaysia, akan bertanggungjawab mempromosikan FAS serta mencari penaja baru untuk badan induk berkenaan. Tidak banyak pasukan yang meletakkan tanggungjawab selaku pengurus serta ketua jurulatih di bahu individu yang sama dan Devan mengakui tradisi itu masih tidak diamalkan pasukan bola sepak di Malaysia. Tetapi, amalan berkenaan sudah menjadi lumrah bagi kelab serata Eropah dan Devan mengakui bukan mudah baginya memikul kedua-dua tanggungjawab itu secara serentak. "Tanggungjawab itu bukan mudah untuk dilaksanakan. Saya akan memikul dua tugas sekali gus tetapi jika kita mahu profesional dalam erti kata sebenar, ia perlu dilakukan sama ada suka ataupun tidak," kata Devan. "Saya mempunyai latar belakang sebagai seorang jurulatih bola sepak dan tentulah tugas sebagai pengurus pasukan ini adalah sesuatu yang baru bagi saya tapi saya akan berusaha melaksanakannya sebaik mungkin. "Saya berterima kasih kepada pengurusan tertinggi FAS yang melantik saya menjadi pengurus pasukan dan saya menganggapnya sebagai satu cabaran baru dalam kerjaya saya. Saya akan sahut cabaran itu," kata Devan. |
| Last Updated ( Sabtu, 05 Disember 2009 08:14 ) |