JENAMA sukan terkenal, Lotto telah memilih penjaga gol Selangor Hamsani Ahmad untuk mendapat penajaan peribadi bagi saingan Liga Malaysia 2010.
Selain daripada Hamsani, turut terpilih ialah penyerang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), V. Saravanan dan penjaga gol Harimau Muda, Zamir Selamat.
Ketiga-tiga mereka hadir pada majlis perasmian kedai konsep Lotto yang pertama di negara ini di Aras 2, Berjaya Times Square, Kuala Lumpur petang semalam.
Hamsani, 33, memberitahu, dia menerima tawaran penajaan daripada Lotto itu kerana selesa menggunakan kasut bola jenama berkenaan.
Majlis penyerahan tajaan itu telah disempurnakan oleh Pengarah Lotto Malaysia, Udo Eimer.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengurus Besar Lotto Malaysia, Ng Yew Toh dan pemilik kedai konsep berkenaan, Kong Chiang Phang.