| Hanya 11 pemain Selangor turun berlatih | |
|
|
Juara tiga piala musim ini, Selangor telah memulakan sesi latihan pramusim bagi menghadapi saingan Liga M 2010 di Padang SUK, Shah Alam petang semalam, lapor WAN FAKHRUL BAKAR. Namun hanya 11 daripada 24 pemain Selangor musim ini turun pada sesi latihan sulung itu. Mereka terdiri daripada Khairul Anuar Baharom, Safee Sali, Rudie Ramli, Razman Roslan, P.Gunalan, D.Surendren, Zaiza Zainal Abidin, Fazilidin Khalid, Fitri Shazwan Raduan dan Fairul Azwan Shahrullail. Jurulatih Selangor, K. Devan berkata, ia bukanlah sesuatu yang membimbangkan kerana enam lagi pemainnya mempunyai sebab tersendiri untuk tidak muncul pada sesi latihan tersebut. "Sebelas pemain yang kamu lihat turun berlatih hari ini (semalam) boleh saya katakan mereka ini sudah menandatangani kontrak baru untuk bersama Selangor musim depan. "Dua lagi pemain sudah menandatangani kontrak ialah Hamsani Ahmad dan Hardi Jaafar. Tetapi mereka sudah memaklumkan tidak dapat turun atas alasan tertentu. "Empat lagi pemain iaitu Amri Yahyah, Amirulhadi Zainal, Nasriq Baharom dan Asraruddin Putra Omar pula masih bersama skuad kebangsaan," katanya ketika ditemui Kosmo! selepas sesi latihan tersebut. Berdasarkan senario terbaru itu, ia menunjukkan bahawa baki tujuh pemain Selangor musim ini bakal mengubah haluan mereka musim depan iaitu Nasril Nourdin, Sanjos Sundawat, K. Nanthakumar, S.Sritharan, Fazli Baharudin, Fadzirul Zakaria dan Fauzan Dzulkifli. Jelas Devan, rombakan besar-besaran tidak perlu dilakukan menjelang musim baru kerana skuad sedia ada sudah berjaya membawa pulang tiga piala musim ini iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih. "Kita mungkin tidak melengkapkan kuota 25 pemain untuk musim depan, mungkin dalam 22 pemain saja. Jadi kita akan membawa masuk beberapa pemain baru, dalam tiga atau empat orang. "Pemain baru ini untuk memantapkan pasukan kerana musim depan Selangor juga akan beraksi dalam saingan Piala AFC," ujar Devan sambil memberitahu pemain-pemain baru itu hanya akan dapat turun berlatih penghujung bulan ini atau 1 Disember depan. Namun, Kosmo! difahamkan, beberapa nama telah disebut-sebut bakal menyarung jersi Selangor musim depan antaranya, Bunyamin Umar (UPB-MyTeam), Safiq Rahim (KL Plus), Liew Kit Kong (KM Naza) dan Khyril Muhymeen Zambri (Kedah). |