SELEPAS mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak Sanjos Sundawat serta K Nanthakumar, Selangor mendapatkan khidmat dua pemain tengah yang difikirkan layak mengisi kekosongan ditinggalkan itu.
Sumber rapat dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berkata skuad Gergasi Merah itu memang sudah lama menaruh minat mendalam terhadap pemain tengah UPB/MyTeam, Mohd Bunyamin Umar serta pemain Kuala Muda Naza, Liew Kit Kong.
"Kedua-dua pemain itu (Bunyamin serta Kit Kong) sudah menandatangani kontrak selama semusim bersama Selangor bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Sanjos dan Nanthakumar.
"Saya juga mendapat tahu Selangor turut bercadang mendapatkan khidmat penjaga gol pasukan Pahang, tetapi saya tidak tahu identiti sebenar pemain terbabit," kata sumber itu.
Bunyamin dan Kit Kong dikatakan mampu membantu menjana bahagian tengah yang akan bertanggungjawab dalam melakukan hantaran kepada penyerang seperti Safee Sali dan Mohd Amri Yahyah.
"Selangor berasakan bahagian tengah mereka mempunyai sedikit masalah dan itulah sebabnya posisi berkenaan perlu dirombak dalam usaha untuk memburu Piala Malaysia musim depan," kata sumber itu.
Ketika bersama UPB/MyTeam, Bunyamin yang bakal mengibar cabaran negara pada temasya Sukan Sea di Laos, bulan depan, meledak satu jaringan ketika saingan Liga Super manakala rekod jaringan Kit Kong yang juga bekas pemain kebangsaan itu lebih menyerlah apabila menyumbangkan dua gol di peringkat Liga Super dan satu gol dalam saingan Piala Malaysia.
Jika semua faktor berkenaan diambil kira, ternyata Selangor serius untuk memburu Piala Malaysia serta satu lagi gelaran musim depan kerana ketua jurulatih, K Devan memilih untuk mempunyai lebih ramai pemain yang mampu menghasilkan gol.
Tiada seorang pun pegawai FAS yang mahu mengesahkan kehadiran Bunyamin serta Kit Kong di dalam kesebelasan utama Selangor kerana masing-masing mahu menunggu keputusan mesyuarat majlis yang akan diadakan minggu depan.