| Devan hilang lima pemain utama | |
|
|
USAHA jurulatih Selangor, K. Devan menerapkan taktikal baru terjejas apabila lima pemainnya tidak akan bersama pasukan itu untuk tempoh dua minggu. Lima pemain iaitu Amri Yahyah, Safiq Rahim, Nasriq Baharom, Amirulhadi Zainal dan Asraruddin Putra Omar akan menyertai latihan pusat skuad kebangsaan bermula esok untuk menghadapi Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2011 di Dubai, 6 Januari depan. Menurut Devan, kesuntukan masa untuk mereka ini bersama-sama rakan sepasukan lain menyukarkannya untuk mengaplikasikan idea-idea taktikal baru bagi saingan musim 2010. "Amri baru pulih daripada kecederaan lutut manakala empat lagi pemain baru pulang dari Sukan SEA Laos. Mereka hanya sempat berlatih bersama baki 18 pemain lain untuk beberapa hari ini saja. "Tapi kita terpaksa terima keadaan ini kerana tugasan negara tetap perlu diutamakan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. Namun Devan tidak mahu menjadikan ketiadaan lima pemain itu sebagai alasan dalam usahanya mempersiapkan pasukan menjelang aksi sulung Piala Sumbangsih menentang Negeri Sembilan di Paroi pada 9 Januari depan. "Saya masih sedang mencuba kombinasi pemain dengan meletakkan mereka di pelbagai posisi selain membina keserasian dalam pasukan. "Nampak ada peningkatan dari segi stamina mereka selepas kita mengadakan tiga perlawanan persahabatan. Baki lima aksi persahabatan lagi akan menyusul selepas ini," jelas Devan. Selangor memulakan aksi pra musim mereka kali ini dengan tiga kemenangan berturut-turut menewaskan Penang KGS FC 2-0 (12 Disember), Kedah 4-2 (16 Disember) dan Pos Malaysia 2-0 (kelmarin). Lima perlawanan yang bakal menyusul ialah menentang Sarawak (hari ini), T-Team (Sabtu), Pahang (29 Disember), Zimbabwe (31 Disember) dan PDRM (2 Januari). Semua perlawanan bermula pada pukul 8 malam di Stadium Shah Alam dengan tiket RM5 untuk dewasa dan percuma bagi kanak-kanak bawah 12 tahun kecuali perlawanan menentang PDRM di Padang SUK, Shah Alam. |