Banner
Bunyamin sudah pulih 100 peratus
Oleh Kosmo!    Sabtu, 26 Disember 2009 08:04   

PEMAIN baru skuad Liga Super Selangor, Bunyamin Umar kini sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan bakal menjalani latihan penuh pada Isnin ini.

Bunyamin yang sebelum ini bersama UPB-MyTeam telah mengalami kecederaan lutut yang memaksanya melupakan aksi Sukan SEA 2009 Laos bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan dan akhirnya menjalani pembedahan kecil pada 1 Disember lalu.

Bunyamin, 21, berkata, keadaannya kini sudah pulih seratus peratus setelah menjalani latihan pemulihan selama tiga minggu.

"Memang rasa tak sabar nak turun padang dan tendang bola semula. Sebelum ini saya hanya dapat melihat rakan-rakan berlatih dan beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan.

"Rasa teruja jugalah lebih-lebih lagi ini pasukan baru. Insya-allah saya akan beraksi dalam beberapa lagi aksi persahabatan sepanjang minggu depan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selangor akan turun menentang T-Team pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam malam ini sebelum dijadualkan bertemu Pahang (29 Disember), Zimbabwe (31 Disember) dan PDRM (2 Januari).

Sebelum ini, Selangor sudah mengharungi empat perlawanan persahabatan dan menang kesemuanya ke atas Penang KGS FC (2-0), Kedah (4-2), Pos Malaysia (2-0) dan terbaru Sarawak (2-0) pada Rabu lalu.

Bagi Bunyamin, Isnin ini juga merupakan hari penting buatnya apabila bakal kembali semula ke dewan kuliah untuk pengajian semester keduanya dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pembangunan Sumber Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

"Saya mula mengikuti program pengajian ini pada Julai lalu dan akan tamat pengajian lebih kurang dua tahun lagi. Tiada masalah membahagikan masa belajar dan berlatih kerana saya sudah melaluinya sebelum ini," ujar pemain yang berasal dari Kedah itu.

Ditanya adakah dia terkilan kerana tidak dapat bersama skuad B-23 negara meraih pingat emas Sukan SEA, Bunyamin berkata: "Tidaklah.. sebaliknya ia menjadikan saya lebih bersemangat untuk bersama rakan-rakan lain mengulangi kejayaan itu pada Sukan SEA 2011 di Indonesia."